KENYATAAN MEDIA
CHILDRITY JAYAKAN MISI BANTUAN KEMANUSIAAN DI ACEH, RANGKA PEMBINAAN SEKOLAH SEMENTARA
Pertubuhan Kebajikan FL (Childrity) telah menjayakan satu misi bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana banjir, melalui kerjasama strategik bersama rakan pelaksana tempatan dan serantau.
Misi bantuan kemanusiaan ini telah diketuai oleh Farah Lee selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Childrity, dan turut disertai wakil-wakil daripada agensi kolaborasi serta rakan pelaksana tempatan. Misi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan kemanusiaan rentas sempadan yang dilaksanakan dengan sokongan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dan Citaglobal Berhad.
Pelaksanaan misi ini telah diadakan baru-baru ini, dengan Childrity berperanan sebagai rakan pelaksana dari Malaysia, manakala rakan kerjasama tempatan di Indonesia ialah Global Humanity Network (GHN). Fokus utama misi ini adalah penyaluran bantuan asas secara langsung kepada komuniti terjejas di Aceh Utara.
Childrity telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan pengagihan bantuan hasil sumbangan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, di samping sumbangan rakyat Malaysia, kepada komuniti yang terjejas di lapangan. Amanah ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan bantuan disampaikan secara terus, telus dan berkesan kepada penerima.
Antara bentuk bantuan yang telah disampaikan termasuk:
• Bekalan makanan asas
• Air bersih
• Kit kebersihan
• Set pembersihan
• Keperluan harian keluarga
• Kit sokongan kanak-kanak
Hasil tinjauan dan pelaksanaan di lapangan mendapati bahawa keperluan mendesak komuniti bukan sahaja melibatkan bantuan asas, malah turut melibatkan aspek pendidikan, khususnya bagi kanak-kanak yang terjejas apabila sekolah mereka rosak atau tidak lagi dapat digunakan akibat banjir.
Sehubungan itu, Childrity telah merangka perancangan pembinaan sekolah sementara, dikenali sebagai MyRuang Aceh, bagi menyediakan ruang pembelajaran yang selamat dan kondusif agar kanak-kanak dapat meneruskan proses pendidikan dalam situasi pascabencana.
Inisiatif ini dirangka sebagai sokongan awal pendidikan, selari dengan usaha pemulihan komuniti, bagi mengelakkan keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak yang terkesan.
Childrity merakamkan rasa amat berbesar hati dan terharu atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas amanah besar ini dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan merentas sempadan serta memastikan sumbangan kepimpinan negara dan rakyat Malaysia diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan berterusan serta semangat solidariti serantau dalam memastikan kesejahteraan dan masa depan kanak-kanak yang terjejas akibat bencana terus terpelihara.
Childrity menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik, agensi kolaborasi, sukarelawan serta pihak berkepentingan yang telah bersama-sama menjayakan misi ini, dan kekal komited untuk meneruskan usaha bantuan serta pemulihan kemanusiaan di peringkat serantau.
— TAMAT —