Seorang lelaki datang di hadapan gadis yang diminatinya.
Kemudian dia melutut, lalu menghulurkan cincin kepada gadis itu sambil berkata:
“Mahukah awak berkahwin dengan saya?”
Jika si gadis itu bersetuju. Lantas lelaki tadi pun menyarungkan cincin di jarinya. Si gadis akan terus memakai cincin itu hinggalah tiba hari perkahwinan mereka.
Jika si gadis menolak, maka merah padamlah muka si lelaki. Maruahnya tercalar di hadapan mata manusia yang memandang.
Inilah adegan yang makin menjadi-jadi dalam masyarakat melayu Islam sekarang. Dekat drama pun selalu ajar. Kononnya romantik dan moden.
Tergedik-gediklah anak muda yang bercouple nak tiru. Astaghfirullahal Azim.
Sedangkan semua itu bukanlah benda baru. Tak moden pun. Sebab dah lama berlaku dalam masyarakat barat sejak dulu lagi. Ia dipanggil one-knee proposal. Ada tercatat pada satu ukiran kayu menunjukkan budaya itu telah berlaku semenjak tahun 1815 masihi di Jerman.
Baik, kita abaikan budaya barat sebegitu ya. Jangan diikut. Sebab kitakan muslim. Ada tatacara aturan tersendiri. Jom kita semak bagaimana cara Islam mengajar cara lamaran yang sebenarnya.
Apa yang dimaksudkan dengan melamar?
Melamar satu proses pertanyaan seseorang kerana dah bersiap sedia untuk berumah tangga dan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami mahupun seorang isteri. Kiranya melamar ini ibarat tiket untuk menaiki kenderaan menuju ke gerbang bahagia. Tapi ingat, belum halal untuk naik lagi. Haa gitu.
Dalam masyarakat melayu, adat melamar bermula dengan merisik, kemudian meminang barulah berkahwin. Semuanya melibatkan ahli keluarga, bukan buat sorang-sorang. Nampak lebih beradab dan sopan santunkan.
Dalam Islam pula, dianjurkan untuk berkhitbah atau bertunang. Waktu bertunang, si lelaki disunatkan untuk melihat bakal isterinya.
Sebuah hadis menyebutkan, Rasulullah SAW bersabda:
انْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا
“Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”
[Hadis Riwayat al-Tirmizi, no. 1087]
Namun begitu, bukanlah boleh tengok berdua-duaan macam anak muda zaman sekarang buat. Atas alasan bertunang, dah sampai ke hotel check-in bahkan sampai berzina. Nauzubillahi minzalik. Padahal baru bertunang, tak halal lagi.
Pertunangan dalam Islam bertujuan untuk kita kenal akhlak dan sifat pasangan sebelum berakad nikah. Ia dapatkan menguatkan hubungan cinta dan sebagai persiapan sebelum nikah.
Bertunang itu ibarat janji, bukan ikatan yang sah lagi. Belum pun melafazkan Ijab dan Qabul. Dah kenapa sampai nak bersentuhan bagai? Hukumnya berdosa bila bersentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram walaupun sekadar bersentuhan tangan menyarung cincin di jari.
Ok, bila mahu melamar atau bertunang lelaki itu tak boleh melamar pinangan orang. Haram hukumnya melamar pinangan orang.
Kemudian gadis yang dilamar itu bukanlah dari kalangan isteri orang, melainkan sudah bercerai dan tamat tempoh ‘iddah. Juga tak boleh melamar gadis di kalangan mahram si lelaki.
Bila bertunang, eloklah dibuat secara sederhana. Bukan dihebahkan secara besar-besaran sebagaimana kenduri kahwin. Cukuplah sekadarnya sahaja.
Ada sebahagian ulama’ mengalakkan agar disembunyikan pertunangan dan dihebahkan perkahwinan. Hikmahnya untuk mengelak hasad dengki dan fitnah.
Semoleknya, pendekkan jarak pertunangan dan bersegeralah nikah jika mampu. Itu lebih baik.
Konklusinya, tak perlulah terikut-ikut budaya barat sebegitu. Sudah cukup sempurna apa yang Islam ajarkan pada kita. Benda mudah, jangan disusahkan.
Jemput share agar lebih ramai tahu dan faham ya.
#UFR